Thursday, May 23, 2013

Pertandingan Syarahan Bahasa Malaysia (SJKC) Peringkat Daerah Sabak Bernam

Tahniah kepada peserta syarahan SJK (C) Phooi Tee kerana mampu bersaing dengan sekolah-sekolah yang lebih besar. "Kecil-kecil cili padi", tahun hadapan kita cuba lagi.


 Tan Gui Fu dan Goh Eva




Para pemenang bergambar bersama tetamu kehormat dan hakim pertandingan


Kalau ada sumur di ladang, 
boleh saya menumpang mandi,
Kalau ada umur yang panjang, 
tahun hadapan kita berjumpa lagi.

Sunday, May 19, 2013

TEKS UCAPAN YAB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN ( MENTERI PELAJARAN DAN PENGAJIAN TINGGI MALAYSIA)

TEMA: “GURU MALAYSIA: 1ASPIRASI, 1AGENDA”
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.


PENDAHULUAN
1. Alhamdullillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. dengan berkat izin dan limpah kurnia-Nya, dapat kita berhimpun pada malam ini untuk sama-sama meraikan para guru dan seluruh warga Kementerian Pelajaran Malaysia sempena sambutan Hari Guru 2013. Terlebih dahulu, saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hassan, Menteri Besar Negeri Sembilan Darul Khusus atas kesudian menjadi tuan rumah dan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi menjayakan program sambutan Hari Guru pada tahun ini.
2. Saya juga mengucapkan tahniah kepada YAB Menteri Besar Negeri Sembilan atas kejayaan memimpin Barisan Nasional memenangi negeri ini dalam pilihanraya umum yang baru lalu. Saya juga mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Datuk Seri Idris Jusoh, Yang Berhormat P Kamalanathan dan Yang Berhormat Mary Yap atas pelantikan sebagai Menteri II dan Timbalan-Timbalan Menteri di Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi. Saya berharap agar dengan pelantikan Yang Berhormat sekalian di Kementerian kita ini akan dapat membantu saya melaksanakan tugas yang lebih mencabar selaku Menteri yang bertanggungjawab terhadap bidang pendidikan dari peringkat pra-sekolah hingga ke tahap pengajian tinggi. InsyaAllah dengan kerjasama yang erat antara anggota pentadbiran yang baru dilantik oleh YAB Perdana Menteri dan seluruh warga Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi yang digabungkan, kita akan dapat
bersama-sama melaksanakan amanah memacu kecemerlangan pendidikan di negara kita dengan sebaik mungkin.
3. Saya juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri yang telah sekali lagi memberikan kepercayaan kepada saya untuk memimpin Kementerian Pelajaran yang amat penting kepada perpaduan rakyat dan kemajuan negara kita. Keputusan YAB Perdana Menteri untuk menggabungkan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi di bawah satu bumbung dengan pelantikan seorang Menteri Kedua adalah satu keputusan tepat yang melambangkan keprihatihan kepimpinan beliau untuk melihat bidang pendidikan di negara kita dapat diurus dengan lebih cekap dan menyumbang secara lebih berkesan kepada kemajuan negara. InsyaAllah, dengan penggabungan kedua-dua Kementerian ini kita akan dapat melaksanakan dasar-dasar yang lebih seragam di semua peringkat pendidikan di samping berkongsi sumber dan kepakaran di sekolah dan institusi pengajian tinggi untuk melonjakkan lagi mutu pendidikan di negara kita. Usaha-usaha transformasi pendidikan akan dapat dilaksanakan dengan lebih efisyen apabila kepakaran daripada semua peringkat pendidikan dapat digembeng secara lebih menyeluruh untuk menghasilkan satu lonjakan berganda dalam pendidikan negara.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
4. Tarikh 16 Mei merupakan hari yang begitu istimewa buat setiap insan bergelar guru. Hari ini memberi peluang kepada kita semua untuk menyatakan penghargaan dan penghormatan terhadap jasa bakti guru kita di seluruh negara. Tidak kira samada anda adalah guru yang bertugas di tadika, di sekolah, di kolej atau di universiti, anda semua adalah insan istimewa yang telah membimbing anak bangsa sehingga mereka menjadi warganegara yang berjaya. Justeru, sempena tarikh keramat ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua guru tidak kira walau di mana anda berada di seluruh pelusuk negara.
5. Sebagai Menteri Pelajaran saya menyeru para guru yang dikasihi untuk terus berjihad dan bertekad bersama-sama kerajaan Barisan Nasional yang telah sekali lagi diberi mandat oleh rakyat untuk menerajui negara bagi menerus dan mempergiatkan usaha mendidik generasi muda menjadi insan dan warganegara yang berguna. Kerajaan sentiasa menghargai peranan para guru dalam membina modal insan, memelihara perpaduan kaum dan berbakti kepada negara.
6. Tidak dapat kita nafikan, kesejahteraan dan kehidupan selesa yang kita nikmati pada hari ini adalah hasil sumbangan dan berkat kegigihan serta pengorbanan guru dalam bidang pendidikan. Matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan insan seimbang dan holistik tidak akan tercapai tanpa peranan besar yang dimainkan oleh para guru. Segala dasar dan pelan pendidikan yang terbaik tidak dapat direalisasikan tanpa komitmen dan dedikasi para guru. Segala cabaran dan rintangan yang dihadapi oleh generasi masa kini memerlukan bimbingan para guru.
Bahkan, tugas guru pada alaf ini menjadi semakin penting kerana bidang pendidikan merupakan penentu kejayaan sesebuah negara. Cabaran besar untuk mendidik murid agar menghargai nilai keinsanan, menghormati perbezaan adat dan budaya serta memperkukuh perpaduan dan jati diri memerlukan guru yang bukan hanya mahir mengajar tetapi juga bijak membimbing.
7. Lebih-lebih lagi dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, peranan guru membina sebuah masyarakat yang harmonis dan bersatu padu menjadi semakin mencabar. Walaupun negara kita telah merdeka lebih 56 tahun dan masyarakat pelbagai kaum dapat hidup secara bersama dalam suasana yang aman dan harmoni, tugas untuk memelihara perpaduan kaum adalah satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan secara berterusan. Kita tidak boleh lalai dan leka kerana kecenderungan ke arah polarisasi kaum sentiasa wujud dan jika tidak dibendung ia akan memberikan kesan yang amat buruk terhadap keharmonian masyarakat dan kestabilan negara.
8. Oleh sebab itu, antara peranan utama pendidikan sepertimana yang termaktub dalam Dasar Pendidikan di negara kita ialah untuk membina sebuah masyarakat yang bersatu padu menerusi satu sistem pendidikan kebangsaan. Kewujudan sekolah-sekolah kebangsaan yang menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama adalah wahana penting untuk membolehkan murid pelbagai kaum mengikuti pendidikan menggunakan kurikulum yang sama, bertutur dalam bahasa yang sama dan bergaul sesama mereka dalam suasana yang penuh mesra dan akrab.
9. Dalam konteks ini, pendidikan merupakan wahana penting pembinaan sebuah negara bangsa yang bersatu padu. Sekolah-sekolah kebangsaan merupakan wahana pemersatu yang mempunyai peranan penting untuk menyatukan semua kaum di negara kita. Kita perlu sentiasa memikirkan bagaimana institusi pendidikan di peringkat sekolah dan universiti dapat membina perpaduan yang lebih jitu dalam kalangan rakyat. Setiap institusi pendidikan di negara kita perlu mewujudkan suasana yang kondusif untuk membolehkan murid daripada pelbagai latar kaum dan agama bergaul sesama mereka dengan lebih mesra dan akrab. Kita perlu runtuhkan tembok prejudis yang tebal dengan menggalakkan interaksi yang harmonis antara murid pelbagai kaum. Pada masa yang sama, kita mesti meneruskan usaha memperkasa sekolah kebangsaan sebagai sekolah perpaduan dan memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan rakyat.
10. Menerusi sistem pendidikan kebangsaan, kita mesti lahirkan warga negara yang patriotik dan berakhlak mulia, yang memahami sejarah asal usul negara bangsa, yang mengormati perlembagaan dan undang-undang negara, yang menjunjung sistem demokrasi berperlembagaan, dan menghayati semangat serta prinsip rukunegara. Pendidikan di negara kita bukanlah semata-mata alat untuk melahirkan modal insan yang berjaya memacu kemajuan negara, tetapi juga
melahirkan insan mulia dalam sebuah masyarakat majmuk yang menghayati sejarah, menghormati perbezaan agama, adat dan budaya serta menghargai nilai-nilai kemanusiaan sejagat.
11. Tugas penting ini tergalas di bahu para guru. Mudah-mudahan jasa dan bakti guru yang dicurahkan pada hari ini akan menentukan rupa wajah masa depan negara kita yang lebih bersatu-padu.

GURU MALAYSIA: 1ASPIRASI, 1AGENDA
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
12. Pada tahun ini, kita memilih “GURU MALAYSIA: 1ASPIRASI, 1AGENDA” sebagai tema Hari Guru. Pada hemat saya, tema ini amat bertepatan dengan hasrat Kementerian untuk mentransformasi sistem pendidikan negara menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang telah kita lancarkan. Tema ini merupakan cerminan harapan rakyat dalam melahirkan generasi masa hadapan yang lebih cemerlang di negara kita. Seluruh warga pendidik wajar memahami hasrat dan kehendak dalam PPPM dengan berusaha memberikan pendidikan berkualiti menjangkau ke seluruh lapisan kanak-kanak sesuai dengan prinsip pendidikan untuk semua tanpa membezakan kaum, status sosial, taraf ekonomi, dan agama.
13. Kementerian Pelajaran telah merangka pelan pembangunan yang komprehensif untuk mencapai matlamat PPPM. 100 inisiatif utama telah dibentuk bagi pelaksanaan PPPM 2013-2025 yang merangkumkan dasar-dasar utama kerajaan termasuk Pelan Transformasi Kerajaan, Pelan Transformasi Ekonomi dan Rancangan Malaysia Ke-10. Saya juga amat bersyukur kerana sasaran enam inisiatif untuk 100 hari gelombang pertama PPPM telah pun berjaya dicapai.

KEJAYAAN 100 HARI PERTAMA PPPM

14. Antaranya, 61,000 orang guru Bahasa Inggeris telah diuji melalui Cambridge Placement Test (CPT) bagi mengenal pasti tahap profisiensi guru dalam bahasa Inggeris. Berdasarkan analisis keputusan CPT yang telah dilaksanakan, kohort pertama yang terdiri daripada 5,000 guru telah memulakan latihan bagi meningkatkan lagi tahap profisiensi mereka. Seterusnya, program latihan Professional English Language Teaching (Pro-ELT) dilaksanakan secara berfasa melibatkan guru-guru Bahasa Inggeris yang berkenaan.
15. Kementerian berharap agar guru yang mengikuti program latihan secara tersusun dan sistematik akan dapat melaksanakan proses pembelajaran dan pengajaran bahasa Inggeris di sekolah dengan lebih berkesan. Seterusnya, sudah pasti murid akan beroleh manfaat dan mampu bersaing di persada antarabangsa apabila mereka lebih fasih serta yakin untuk berbahasa Inggeris.
16. Peningkatan kualiti guru juga dilaksanakan dengan mewujudkan 339 Rakan Peningkatan Sekolah (SiPartners+) dan 1,278 Pembimbing Pakar Pembangunan Sekolah (SISC+) yang ditempatkan di Pejabat Pelajaran Daerah di seluruh negara menjelang 2014. SiPartners+ dan SISC+ diwujudkan untuk mengiktiraf kepakaran guru melalui Program Transformasi Pejabat Pelajaran Daerah. Pembimbing guru dan kepimpinan sekolah yang dirintis di Kedah dan Sabah telah berjaya membantu meningkatkan kesedaran guru kepada amalan pengajaran yang lebih efisyen di samping pengurusan sekolah yang lebih cekap. Melalui transformasi PPD, saya yakin guru mendapat sokongan yang terbaik sehingga dapat meningkatkan kualiti sekolah dengan pengurangan sebanyak 50 peratus sekolah dalam band 6 dan 7 di negeri Sabah dan Kedah. InsyaAllah, menjelang tahun 2015 kita akan berjaya mencapai sasaran sifar bagi kedua-dua band tersebut.
17. Dengan kejayaan mencapai matlamat inisiatif 100 hari pelaksanaan PPPM, saya suka mengingatkan agar kita semua janganlah lalai dan leka. Usaha yang berterusan perlu digiatkan bagi memastikan anak didik kita menguasai kemahiran, pengetahuan dan pengalaman pembelajaran yang berkualiti. Justeru, usaha bagi merealisasikan kesemua 19 inisiatif PPPM perlu kita laksanakan sedaya upaya dengan penuh komitmen agar menjelang 2015 segala perancangan strategik berjaya dilaksanakan sepenuhnya. Saya amat mengharapkan jasa baik dan bantuan guru-guru untuk berganding bahu bersama-sama saya menjayakan inisiatif PPPM yang telah kita usahakan.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

PERANAN GURU DALAM PPPM
18. Dalam melaksanakan hasrat PPPM, para guru berperanan untuk melonjakkan kualiti pendidikan negara ke tahap bertaraf dunia. Untuk itu, para guru perlu memiliki satu wawasan unggul untuk mentransformasi pelbagai aspek pendidikan, berpemikiran aras tinggi dan mampu berinovasi. Bagi menyahut hasrat ini, para guru perlu sentiasa berusaha untuk meningkatkan keberhasilan sekolah dan kemenjadian murid. Saya akur, guru selama ini memang telah berakauntabiliti dalam meningkatkan pencapaian murid dan kejayaan sekolah. Namun, akauntabiliti terhadap keberhasilan operasi sekolah masing-masing perlu terus dipertingkatkan kerana dalam dunia yang kompetitif hari ini persaingan menjadi semakin sengit. Kebolehan kita untuk berjaya
bergantung pada kelebihan daya saing kita yang ditentukan oleh kemampuan minda dan keupayaan berfikir pada aras tinggi. Oleh itu, kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) meliputi pemikiran kritikal, keupayaan berkomunikasi, kemampuan penerokaan persekitaran serta keyakinan kendiri perlu sentiasa dijana menerusi pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang holistik.
19. Bagi menilai keberkesanan KBAT, sebanyak 30 peratus soalan dalam peperiksaan pusat seperti UPSR, PMR, SPM dan STPM/STAM menjurus kepada elemen KBAT. Dalam kalangan murid juga, KBAT dinilai melalui peperiksaan antarabangsa seperti TIMSS dan PISA sesuai dengan hasrat Kementerian untuk melahirkan murid yang mampu bersaing di peringkat global. Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang telah dilaksanakan dalam tempoh dua tahun ini diharap dapat mengesan kelebihan atau kegagalan penguasaan murid dari peringkat awal. Melalui PBS, saya yakin guru dapat mencungkil kemahiran berfikir aras tinggi murid dan menggalakkan perekaciptaan dalam kalangan mereka.
20. Pendeta Za’aba pernah menegaskan bahawa ilmu pengetahuan adalah asas terpenting yang menyelamatkan manusia daripada belenggu kemunduran. Justeru, pendidikan dan penghayatan ilmu perlu sentiasa dimantapkan agar kita kekal relevan dalam persaingan menuju negara maju. Oleh sebab itu, guru-guru juga harus berani meneroka pelbagai cabang ilmu untuk mempelbagaikan kaedah dan teknik pengajaran yang berkesan. Warga guru wajar mencontohi Cikgu Zainuddin Zakaria dari SMK Taman Bukit Maluri Kepong yang telah memenangi tempat pertama dalam kategori “Educator’s Choice” semasa persidangan ‘Microsoft 8th Partners in Learning Asia and Pacific Forum’ di New Zealand menerusi hasil penciptaan beliau yang menggunakan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran

LATIHAN DAN LALUAN KERJAYA GURU
21. Pemerkasaan guru melalui latihan yang berterusan amat penting bagi menghasilkan tenaga kerja mahir. Modal insan minda kelas pertama dipertaruhkan untuk memacu pembangunan negara dalam merealisasikan Wawasan 2020. Oleh itu, amatlah wajar aspek pendidikan guru menjadi agenda utama kementerian. Pelan induk Pembangunan Profesionalisme Berterusan (CPD) baharu dan pangkalan data pengesanan CPD bagi memantap dan mengukuhkan ilmu pengetahuan akan dilaksanakan. CPD dapat membangunkan kapasiti dan mengukuhkan nilai profesional untuk meningkatkan kualiti diri dan kompetensi dalam profesion seiring dengan aspirasi negara. Peningkatan keupayaan dan kompetensi guru termasuk pemimpin sekolah diberi keutamaan bagi menjamin keberhasilan pencapaian murid. Dalam usaha memastikan guru berpeluang untuk mendapatkan latihan yang cukup, Latihan Berasaskan Sekolah perlu dirancang dan dilaksanakan di setiap sekolah.
22. Kerajaan amat berterima kasih atas usaha dan ketekunan guru meningkatkan kualiti pendidikan. Demi memartabatkan profesion keguruan, kerajaan telah menggariskan beberapa inisiatif untuk meningkatkan taraf para guru. Melalui PPPM 2013-2025, pelan untuk menaik taraf profesion keguruan akan dirangka supaya 420,000 guru berpeluang dinaikkan pangkat berdasarkan prestasi. Laluan kerjaya yang terbaik akan disediakan untuk guru. Namun guru-guru hendaklah berada di tahap prestasi cemerlang dalam Penilaian Instrumen Bersepadu dan melengkapkan diri melalui CPD yang bersesuaian sebelum dipertimbang dan diperakukan untuk kenaikan pangkat. Walau bagaimanapun, untuk memastikan pendidikan negara terus berkualiti, guru berprestasi rendah akan melalui CPD yang sistematik dan berstruktur atau sesi kaunseling mengikut keperluan. Bagi guru-guru yang masih lagi tidak menunjukkan sebarang peningkatan atau perubahan walaupun telah melalui CPD berkenaan akan melalui proses penempatan semula mengikut kesesuaian.
23. Guru-guru yang baru dilantik atau novis juga perlu bersedia dengan pengetahuan dan kemahiran supaya dapat mengharungi perubahan persekitaran yang dinamik. Guru perlu mengajar murid untuk mempraktikkan ilmu dan mengaplikasikan serta mencetuskan idea baharu. Bagi menghasilkan modal insan yang setanding dengan aras antarabangsa sekurang-kurangnya pada tahap ‘kategori tiga teratas’ dalam sistem pendidikan terbaik dunia, maka profesion keguruan perlu ditransformasikan. Selaras dengan PPPM 2013-2025, Institut Pendidikan Guru (IPG) perlu membawa perubahan melalui penggunaan prinsip Strategi Lautan Biru dengan mencipta pasaran atau produk yang belum ada saingan, menjadikan saingan tidak relevan, fokus kepada bukan pelanggan sedia ada dan mencipta serta meneroka permintaan baharu. Dengan perkataan lain, IPG perlu mengorak langkah memperluaskan pasaran latihan perguruan ke luar negara dan secara tidak langsung melebarkan kebolehpasaran graduan IPG sendiri. Sudah sampai masanya IPG menghasilkan kurikulum pendidikan guru bertaraf antarabangsa supaya latihan perguruan dapat diperluaskan dengan menawarkan latihan perguruan kepada negara dunia ketiga.
24. Sesungguhnya guru juga akan menikmati persekitaran kerja yang lebih sesuai bagi memastikan kualiti kerja meningkat. Sesungguhnya guru juga akan menikmati persekitaran kerja yang lebih sesuai bagi memastikan kualiti kerja meningkat. Melalui PPPM 2013-2025, guru akan didedahkan dengan budaya kerjasama dan kecemerlangan profesional. Mereka perlu saling bekerjasama dalam menangani isu dan berkongsi amalan terbaik. Dengan itu, guru akan mempunyai keluwesan pedagogi yang lebih besar di dalam bilik darjah bagi meningkatkan keberkesanan pembelajaran murid. Untuk memastikan guru lebih fokus terhadap pengajaran dan pembelajaran dan murid mendapat faedah semaksimum mungkin, maka kita sedang menjalankan kajian rintis di Melaka bagi menempatkan pembantu tadbir N17 di sekolah bagi menguruskan tugas perkeranian guru data, perpustakaan dan media. Guru data dan guru media akan melepaskan tugas berkenaan secara beransur-ansur untuk memberi fokus kepada pengajaran dan pembelajaran secara sepenuh masa. Dapatan awal kajian rintis menunjukkan hasil yang memberangsangkan. Sekiranya kajian rintis ini berjaya, maka insyaAllah kita akan memperluaskan khidmat sokongan
pembantu tadbir N17 ini ke semua sekolah secara berperingkat-peringkat. Kita yakin, masa mengajar guru yang berkualiti adalah sangat berharga dalam meningkatkan kualiti pendidikan secara keseluruhannya.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

TRANSFORMASI KURIKULUM
25. Kita sedar bahawa penghayatan nilai-nilai rohani adalah satu tonggak utama dalam pendidikan. Sementara kita ghairah mengejar kemajuan duniawi, pembentukan insan yang beriman dan bersahsiah mulia jangan kita abaikan. Saya amat bersyukur dalam PPPM 2013-2025, aspek kerohanian juga ditekankan bagi menjana modal insan berakhlak mulia. Pembentukan murid dengan nilai-nilai murni berasaskan ajaran agama amat penting bagi memastikan negara memperoleh generasi pemimpin masa hadapan yang telus, bertanggungjawab dan berintegriti. Justeru, Transformasi Kurikulum Pendidikan Islam digubal dengan mewujudkan Kurikulum Dini dan Kurikulum Tahfiz sebagai Kurikulum Kebangsaan yang akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat bermula dengan Tingkatan Enam Dini pada tahun 2014 dan Tingkatan 1 pada tahun 2015. Pendaftaran Sekolah Agama Negeri dan Sekolah Agama Rakyat sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan jelas membuktikan bahawa KPM komited untuk mengangkat martabat pendidikan Islam di negara ini. Di samping itu, KPM turut mengambil perhatian terhadap penerapan nilai-nilai murni menerusi pelaksanaan kurikulum Pendidikan Moral.
26. Selain itu, kemahiran vokasional dan perekaciptaan dalam kalangan murid diperluaskan dalam Pelan Transformasi Pendidikan Vokasional. Pelan tansformasi ini telah dilancarkan merangkumi lima strategi utama, lima inisiatif serta sebelas tindakan bagi meningkatkan nilai pasaran kerja murid dan melonjakkan kualiti pendidikan vokasional setaraf dengan negara maju. Sesungguhnya, transformasi vokasional telah menunjukkan kejayaan apabila KPM menerima permohonan memberangsangkan dengan 110,000 pemohon untuk mengikuti kursus di Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik. Buat masa ini kita dapat menampung 23,000 orang pelajar bagi program aliran vokasional, kemahiran dan teknikal. Usaha sedang dibuat untuk menyediakan lebih banyak tempat bagi memenuhi permintaan yang tinggi dalam aliran ini.
27. Bagi meningkatkan kualiti pendidikan vokasional, jalinan kerjasama dengan Institut Latihan Kemahiran Awam dan Swasta telah dilaksanakan. Jalinan kerjasama ini memantapkan lagi proses pembelajaran dan latihan pelajar sebelum menempuh alam pekerjaan sebenar. Penglibatan dalam perkongsian ini akan membolehkan KPM memperoleh teknologi serta kepakaran, selain mengelak
berlakunya masalah ketidaksepadanan antara latihan kemahiran yang disediakan dan bidang pekerjaan yang ditawarkan oleh pihak industri.

KEJAYAAN GURU DARI ASPEK LATIHAN DALAM BIDANG SUKAN

28. Pada hari ini, kita dapat membuktikan landasan yang dibina oleh KPM dari peringkat akar umbi telah menghasilkan atlet murid yang cemerlang dan berpotensi tinggi bukan sahaja di peringkat kebangsaan malah di peringkat antarabangsa. Banyak kejayaan yang telah diraih oleh atlet kita di temasya sukan di dalam dan luar negara. Sebagai contoh, di Kejohanan Balapan dan Padang MSSM 2012, sebanyak 10 rekod baru dicipta. Begitu juga dalam Kejohanan Renang MSSM 2013, sebanyak 12 rekod baru dicipta. Perenang muda seperti Welson Sim dari Sekolah Sukan Bukit Jalil dan Yap Siew Hui dari SMK Khatolik Petaling Jaya bakal mewakili negara pada masa terdekat. Ini jelas menunjukkan peningkatan prestasi atlet kita bermula di peringkat kebangsaan. Di persada antarabangsa pula, atlet murid kita juga telah menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam Kejohanan ASEAN Schools Games 2012. Saya begitu bangga kerana Malaysia menjadi johan dalam sukan balapan dan padang.
29. Atlet kita juga cemerlang dalam kejohanan badminton Sekolah-Sekolah Asia apabila pasukan negara muncul sebagai juara di rantau Asia. Di kejohanan bolasepak Sekolah-Sekolah Asia Bawah 15 Tahun, kontinjen negara telah diumumkan sebagai naib johan. Di samping itu, terdapat juga atlet murid dari Sekolah Sukan Bukit Jalil mewakili remaja negara dalam sukan skuasy seperti Ng Eain Yow yang telah menjuarai kejohanan Skuasy Remaja Terbuka British. Begitu juga dengan atlet murid sukan renang dan menembak yang telah menyinar dalam Australian Youth Olympic Festival dengan meraih pingat emas. Atlet murid perempuan dari Sekolah Sukan Bukit Jalil kita pula cemerlang dalam kejohanan bola jaring ‘Tri-Nations’ di Hong Kong dengan menjuarai kejohanan tersebut. Atlet murid ini bakal mengharumkan nama negara di persada antarabangsa. KPM sentiasa menghargai jasa guru dalam mengharumkan nama sekolah, daerah, negeri serta negara dengan usaha gigih dan mencungkil bakat-bakat baru dalam bidang sukan selama ini.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
30. Seperti yang saya sebutkan di awal ucapan, kelestarian, kemajuan dan kemakmuran negara juga terletak pada keupayaan guru untuk memupuk perpaduan dan keharmonian kaum yang berkekalan. Bagi meningkatkan lagi penghayatan murid pelbagai kaum terhadap nilai patriotisme, guru perlu melaksanakan pelbagai program yang menjurus ke arah penghayatan prinsip-prinsip Rukun Negara. Usaha memperkenalkan dan mempopularkan lagu-lagu patriotik dalam kalangan murid merupakan satu langkah yang baik untuk mewujudkan integrasi nasional di semua jenis
sekolah. Di samping itu, sukalah saya mengingatkan guru-guru agar menjadi suri teladan dan contoh yang baik kepada murid dalam usaha menghayati nilai-nilai murni serta nilai patriotisme itu sendiri. Dalam konteks ini, guru juga harus sentiasa menyuntik rasa bersyukur dan berterima kasih dalam sanubari murid atas kemakmuran dan kestabilan negara yang sedang kita nikmati hingga ke hari ini.
31. Saya juga berasa teruja untuk mengucapkan terima kasih atas pengorbanan dan keberanian guru-guru kita di Lahad Datu. Saya ucapkan terima kasih terutama kepada Cikgu Saabi binti Hasin dari SK Lok Buani Lahad datu yang menjadikan rumahnya sebagai sekolah sementara untuk anak-anak murid belajar dan membiayai pula perbelanjaan makan minum mereka. Selain itu, saya juga mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Catherine Gonolon dari SK Fajar Harapan Lahad Datu yang sanggup berada di kawasan pertempuran dan mengajar murid-murid dari sekolah yang berlainan. Inilah antara contoh guru yang kita sanjung tinggi. Saya berharap tiada lagi guru yang mengeluarkan kenyataan berunsur provokasi yang boleh menjatuhkan maruah dan kredibiliti guru yang sememangnya disanjung tinggi oleh masyarakat kerana sanggup berbakti tanpa mengira suasana, masa dan tempat. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada guru-guru yang sanggup berkorban dalam apa jua keadaan demi mendidik anak bangsa.
32. Setimpal dengan jasa dan pengorbanan guru yang tidak terhingga, kerajaan menyediakan Anugerah Tokoh Guru pada setiap tahun bertujuan untuk mengenang jasa dan bakti guru yang telah bersara, namun tetapi masih aktif berbakti kepada negara. Pada tahun ini, kita memperkenalkan Anugerah Ikon Guru bagi mengiktiraf jasa guru yang masih berkhidmat dan telah mengharumkan nama Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua bakal para penerima anugerah.
33. Akhir kalam, saya mengucapkan Selamat Hari Guru dan terima kasih cikgu. Marilah kita bersama-sama menjayakan transformasi pendidikan bagi memenuhi hasrat dan aspirasi negara kita untuk menjadi sebuah negara maju. Seiring dengan tema Hari Guru tahun ini iaitu “1 Agenda, 1 Aspirasi”, saya mengajak warga guru sekalian untuk bekerja bersama-sama saya bagi memastikan pendidikan di negara kita menjadi antara yang terunggul dan terbaik di dunia. Kepada Allah kita berserah dan kepadaNya jua kita memohon pertolongan.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Pelancaran Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-42 tahun 2013.
Wabillahi al-taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Wednesday, May 15, 2013

GURU MALAYSIA: 1ASPIRASI, 1AGENDA


HURAIAN TEMA HARI GURU 2013
 GURU MALAYSIA : 1ASPIRASI, 1AGENDA
HURAIAN 1ASPIRASI:
Semua Guru Malaysia mempunyai satu aspirasi untuk membangunkan sistem pendidikan berkualiti bertaraf dunia seperti yang dihasratkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Adalah menjadi tanggungjawab semua guru ke arah melahirkan murid yang mempunyai enam aspirasi iaitu berpengetahuan,kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, beretika dan kerohanian serta beridentiti nasional.

1ASPIRASI juga diterjemahkan kepada cita-cita murni PPPM 2013-2025 iaitu ke arah sistem pendidikan negara yang memastikan akses kepada kejayaan, kualiti standard antarabangsa yang tinggi, ekuiti untuk semua murid, memupukperpaduan dalam kalangan murid dan pelaksanaan berkecekapan tinggi.
HURAIAN 1AGENDA:
Semua Guru Malaysia berpegang kepada satu agenda iaitu memastikan kejayaan PPPM 2013-2025.  Guru perlu berpegang teguh kepada etika profesion keguruan yang mempunyai satu agenda atau tugas utama iaitu melahirkan murid seimbang berdasarkan Falsasah Pendidikan Negara.

Selamat Hari Guru



Selamat Hari Guru buat semua warga SJKC Phooi Tee dan semua guru-guru di Malaysia
Guru Malaysia :1 Aspirasi, 1 Agenda

Wednesday, May 1, 2013

Tingkatkan peranan PIBG

PERSATUAN Ibu Bapa dan Guru (PIBG) adalah organisasi penting kepada sesebuah institusi pendidikan rendah dan menengah. Fungsi dan tanggungjawab PIBG amat besar serta mencabar, ke arah meningkatkan akses, ekuiti, kecekapan, keberkesanan dan kualiti pendidikan negara yang lebih komprehensif, berwibawa serta bertaraf dunia.
Objektif dan visi PIBG hendaklah selari dengan Misi Nasional; Dasar Pembangunan Negara; Falsafah Pendidikan Negara (FDN); Dasar Pendidikan Negara (DPN); Pelan Integriti Nasional (PIN); dan prinsip Islam Hadhari.
Akta Pendidikan 1961 memperuntukkan bahawa PIBG adalah entiti utama dalam sesebuah sekolah dan asas penubuhannya termaktub dalam akta tersebut. PIBG berperanan sebagai rakan kongsi sekolah dalam menyelesaikan masalah, birokrasi dan isu yang timbul. Badan ini juga bertindak sebagai wadah, forum dan khidmat bakti untuk kemajuan serta pembangunan pelajar dan sekolah.
Ini turut meliputi sistem pentadbiran dan pengurusan sekolah, akademik, disiplin, sistem pemantauan dan penilaian. Penekanan kepada kurikulum dan pentaksiran amat penting, termasuklah pemantauan maklumat dan komunikasi, penyelidikan dan pembangunan, kewangan serta infrastruktur sekolah.
Perlembagaan PIBG menetapkan bahawa keahlian badan ini hendaklah terdiri daripada setiap guru dan ibu bapa yang anak mereka menuntut di sekolah berkenaan. Institusi ini boleh bertindak melengkapkan prasarana keperluan fizikal sekolah dan murid seperti projek makmal komputer; penyediaaan akses jalur lebar SchoolNet ke sekolah; perpustakaan yang lengkap; program TV Pendidikan; pusat sumber yang mapan; kemudahan sukan dan rekreasi yang mantap dan berkesan; serta pelbagai inisiatif teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang lain.
Ini termasuklah kemudahan akses internet, paparan kristal cecair (LCD), kafe siber di sekolah dan lain-lain lagi yang mampu menyokong aspirasi kecemerlangan sekolah.
Inilah agenda dan misi yang sepatutnya menjadi matlamat serta perjuangan barisan kepimpinan dan pengurusan PIBG. Dan bukannya menjadikan PIBG sebagai platform politik murahan, gelanggang mengejar nama dan pangkat, medan mesyuarat ala kedai kopi atau perebutan jawatan demi kepentingan diri sendiri dan mempunyai agenda tersembunyi yang tidak memberi sebarang manfaat dan kebaikan kepada pembangunan sekolah dan masa hadapan pelajar.
Barisan kepimpinan PIBG juga hendaklah menginsafi dan dengan penuh tanggungjawab melaksanakan tugas dan amanah yang dipikul di bahu mereka.
PIBG yang bertindak sebagai entiti utama, membolehkan kelompok ibu bapa dan guru berkongsi dan bertukar pendapat serta maklumat mengenai pendidikan semasa dan method meningkatkan lagi prestasi akademik dan kokurikulum pelajar. Pembangunan modal insan perlu dengan tumpuan kepada sistem nilai, aspek disiplin, sahsiah, akhlak, dan jati diri pelajar.
Ini bermatlamat melahirkan produk generasi pelajar yang berkualiti, bersepadu dan seimbang. Hasilnya produk pelajar tersebut kompeten dalam sains dan teknologi, inovatif, mampu bersaing di pasaran global, berdikari, kreatif serta kebolehpasaran dalam apa jua bidang dan jurusan yang diceburi mereka pada masa akan datang.


*MOHAMAD SOFEE RAZAK ialah seorang peguambela dan peguamcara.

Dana PIBG 1 Malaysia Development Berhad

Maklumat lanjut bolehlah klik pautan berikut : http://www.danapibg.com.my/ms

Tuesday, April 30, 2013

Perlembagaan PIBG


AKTA PENDIDIKAN 1996
PERATURAN-PERATURAN PENDIDIKAN
(PERSATUAN IBU BAPA & GURU) 1998
[Sub peraturan 7(2)]
PERLEMBAGAAN PERSATUAN IBU BAPA-GURU (PIBG)
SEKOLAH : .................................................................................

Nama dan Alamat
1. Persatuan ini dikenal dengan nama:
..................................................................................................................

2. Alamat yang didaftarkan bagi Persatuan ini ialah:
..................................................................................................................
..................................................................................................................
Tujuan-tujuan Persatuan
3. Tujuan-tujuan Persatuan ialah:
a) untuk mengadakan sesuatu forum dan perkhidmatan bagi kebajikan dan kemajuan murid-murid dalam Sekolah dalam meningkatkan imej Sekolah;
b) untuk membantu dan menambah usaha Sekolah dalam memenuhi kehendak dan keperluan kebendaan murid-murid dalam kegiatan mereka;
c) untuk membolehkan ibu bapa dan guru dalam Sekolah bertukar-tukar fikiran dan maklumat mengenai pendidikan;
d) untuk memberi peluang kepada ibu bapa dan guru dalam sekolah berunding antara satu sama lain dengan cara memperbaiki taraf pendidikan anak-anak mereka pada amnya; dan
e) untuk membolehkan ibu bapa dan guru dalam Sekolah untuk berusaha menambah kewangan Sekolah dan meningkatkan kemudahan fizikal bagi tujuan meningkatkan kemudahan pengajaran dan pembelajaran
Fungsi Persatuan
4. Fungsi Persatuan ialah untuk menjalankan aktiviti atau program bagi mencapai tujuan-tujuan persatuan yang dinyatakan di perenggan 3, seperti:
a) membantu dalam memajukan perkembangan murid dan menjaga kebajikan murid;
b) menambah sumber kewangan Sekolah bagi menambah dan meningkatkan kemudahan di Sekolah;
c) meningkatkan kemesraan dan menyediakan saluran komunikasi dan hubungan antara Sekolah dengan masyarakat setempat;
d) meningkatkan kecerian premis Sekolah supya dapat mewujudkan suasana yang kondusif bagi menjayakan aktiviti dan program pendidikan
Keanggotaan Persatuan
5. Anggota Persatuan terdiri daripada:
a) semua guru di Sekolah;
b) ibu bapa kepada murid yang belajar dalam Sekolah; dan
c) warganegara Malaysia yang diluluskan permohonan untuk menjadi anggota Persatuan oleh Pegawai Pendidikan Daerah atau Pegawai Pendidikan Bahagian atau Pendaftar, mengikut mana yang berkenaan (seperti di Lampiran A); dan
6. Guru Besar atau Pengetua Sekolah hendaklah menjadi ex-officio dan Penasihat Persatuan.

Jawatankuasa Persatuan
7. Persatuan hendaklah diuruskan oleh suatu jawatankuasa yang dikenali sebagai "Jawatankuasa PIBG". Jawatankuasa PIBG hendaklah dilantik oleh anggota Persatuan pada setiap Mesyuarat Agung Tahunan.
8. Anggota Jawatankuasa PIBG hendaklah terdiri daripada warganegara Malaysia sahaja.
9. Keanggotaan Jawatankuasa PIBG adalah seperti berikut:
a) seorang Yang Di-Pertua;
b) seorang Naib Yang Di-Pertua;
c) seorang Setiausaha;
d) seorang Bendahari; dan
e) ........................... orang Ahli Jawatankuasa
10. Bilangan ibu bapa dan guru yang menganggotai Jawatankuasa PIBG hendaklah, seboleh-bolehnya, seimbang.
11. Guru Besar atau Pengetua tidak boleh menganggotai Jawatankuasa PIBG dan hanya bertindak sebagai Penasihat Persatuan.
12. Bilangan Ahli Jawatankuasa PIBG di perenggan 9(e) hendaklah antara 1 hingga 11 orang.
13. Bilangan anggota Jawatankuasa PIBG di kalangan anggota Persatuan (bukan anggota guru di sekolah tersebut) yang tidak mempunyai anak di sekolah itu hendaklah tidak melebihi 1/5 daripada keseluruhan bilangan anggota Jawatankuasa PIBG berkenaan.
14. Tertakluk kepada perenggan 13 Perlembagaan ini dan subperaturan 6(4) hingga (6) Peraturan-Peraturan Pendidikan (Persatuan Ibu Bapa - Guru) 1998, Pegawai Pendidikan Daerah atau Pegawai Pendidikan Bahagian (mengikut mana yang berkenaan) boleh melantik tidak lebih daripada 2 orang yang bukan anggota Persatuan untuk menjadi anggota Jawatankuasa PIBG setelah mendapat kelulusan bertulis Pendaftar.
15. Tempoh memegang jawatan dalam Jawatankuasa PIBG adalah bermula dari tarikh pelantikan sehingga tarikh Mesyuarat Agung Tahunan pada tahun berikutnya atau sehingga suatu tempoh yang diluluskan oleh pendaftar.
16. Jika berlaku kekosongan jawatan dalam Jawatankuasa PIBG, Yang Di Pertua hendaklah melantik mana-mana anggota biasa Persatuan, berdasarkan undian terbanyak di kalangan anggota Jawatankuasa PIBG, untuk mengisi kekosongan jawatan itu.
17. Jawatankuasa PIBG hendaklah mengedarkan kepada anggota Persatuan senarai nama dan alamat pemegang jawatan dalam Jawatankuasa PIBG pada setiap tahun selewat-lewatnya 14 hari selepas tarikh Mesyuarat Agung Tahunan.

Fungsi Jawatankuasa PIBG
18. Fungsi Jawatankuasa PIBG ialah mengelola dan mengatur kegiatan Persatuan dan membuat keputusan atas perkara-perkara yang menyentuh perjalanan Persatuan, tanpa bercanggah dengan dasar umum yang ditetapkan oleh Mesyuarat Agung Tahunan, Perlembagaan ini dan Akta Pendidikan 1996 serta peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya.
a) Yang Di-Pertua
i) Menjadi Pengerusi dalam semua mesyuarat Jawatankuasa PIBG dan Mesyuarat Agung Tahunan dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan mesyuarat.
ii) Mempunyai undi pemutus dan hendaklah menandatangani minit-minit mesyuarat apabila telah diluluskan.
iii) Bertanggungjawab mengawasi pentadbiran Persatuan serta memastikan bahawa peruntukan Perlembagaan dipatuhi oleh semua anggota Persatuan.
iv) Sentiasa mematuhi segala peruntukan Perlembagaan dalam menjalankan tugas sebagai Yang Di-Pertua.
v) Boleh memanggil mesyuarat Jawatankuasa PIBG pada bila-bila masa yang difikirkan perlu dengan persetujuan Guru Besar atau Pengetua.
vi) Menandatangani cek atau penyata pengeluaran wang Persatuan.
vii) Memastikan segala aktiviti dan program Persatuan dilaksanakan dengan sempurna dan teratur.
viii) Mendapatkan nasihat mengenai pengurusan Persatuan dari semasa ke semasa daripada Guru Besar atau Pengetua selaku Penasihat Persatuan.
b) Naib Yang Di-Pertua
i) Bertanggungjawab membantu Yang Di-Pertua dalam menjalankan fungsi-fungsi Yang Di-Pertua.
ii) Menjalankan tanggungjawab dan fungsi Yang Di-Pertua semasa ketiadaan Yang Di-Pertua .
c) Setiausaha
i) Menjalankan urusan Persatuan mengikut Perlembagaan Persatuan.
ii) Melaksanakan keputusan-keputusan Mesyuarat Agung Tahunan dan mesyuarat Jawatankuasa PIBG.
iii) Mencatat, menyedia dan menyimpan minit-minit mesyuarat Jawatankuasa PIBG dan Mesyuarat Agung Tahunan.
iv) Menyediakan laporan-laporan untuk dibentangkan kepada Mesyuarat Agung Tahunan serta minit-minit yang bersangkutan dengannya.
v) Menghantar segala laporan dan aktiviti Persatuan dan minit Mesyuarat Agung Tahunan kepada Pendaftar atau Pegawai Pendidikan Daerah atau Pegawai Pendidikan Bahagian, mengikut mana yang berkenaan, selepas Mesyuarat Agung Tahunan.
vi) Menandatangani cek atau penyata pengeluaran wang Persatuan, jika perlu.
d) Bendahari
i) Bertanggungjawab mengurus dan mengawal hal ehwal kewangan Persatuan dengan menyediakan dan menyimpan kira- kira kewangan yang kemas kini. Penyata kira-kira kewangan (1 Januari hingga 31 Disember) hendaklah disiapkan sebelum 1 Februari tahun berikutnya untuk diaudit. Penyata kira-kira yang telah diaudit hendaklah dikemukakan untuk kelulusan Mesyuarat Agung Tahunan. Satu salinan penyata yang telah diaudit dan diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah dihantar kepada Pendaftar selepas Mesyuarat berkenaan.
ii) Menguruskan perbelanjaan wang Persatuan seperti yang diputuskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan atau mesyuarat Jawatankuasa PIBG.
iii) Menyimpan wang tunai tidak melebihi sesuatu jumlah yang ditetapkan dalam Perlembagaan pada sesuatu masa.
iv) Menerima bagi pihak Persatuan semua derma atau sumbangan daripada mana-mana anggota atau lain-lain sumber dan mengeluarkan resit akaun terima dan kreditkan ke dalam akaun Persatuan pada hari yang sama.
v) Menandatangani cek atau penyata pengeluaran wang Persatuan.
vi) Memastikan tiada berlaku terlebih pengeluaran wang dari akaun Persatuan dan akaun sentiasa berbaki kredit.
Lain-lain jawatan
19. Penasihat Persatuan
a) Guru Besar atau Pengetua Sekolah adalah anggota ex-officio Persatuan dan bertindak sebagai penasihat kepada Jawatankuasa PIBG dan Persatuan. Antara tanggungjawab dan fungsi Guru Besar atau Pengetua adalah seperti berikut;
i) menghadiri mesyuarat Jawatankuasa PIBG, Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Tergempar, tetapi tidak boleh mengundi;
ii) mewakili pihak Jabatan Pendidikan Negeri dan Kementerian Pendidikan Malaysia bagi mengawal dan menasihati Persatuan supaya segala aktiviti, kegiatan dan keputusan yang dibuat dalam mesyuarat-mesyuarat Persatuan tidak bercanggah dengan kepentingan perkhidmatan, dasar-dasar negara dan dasar-dasar mengenai pelajaran dan pendidikan serta hal-hal berkaitan dengan pentadbiran sekolah;
iii) berhak untuk menghenti dan menangguhkan mesyuarat Persatuan jika difikirkan wajar untuk kepentingan anggota Persatuan;
iv) meluluskan semua agenda mesyuarat dan perkara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa PIBG dan Persatuan;
v) memberi penjelasan kepada sesuatu isu mengenai pengurusan dan perjalanan Sekolah dan akademik serta isu-isu yang berkaitan dengannya dalam mesyuarat persatuan;
vi) memastikan kegiatan persatuan selaras dengan tujuan dan fungsi Persatuan;
vii) memastikan sumbangan Persatuan yang diputuskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan tidak membebankan dan tidak mengandungi sebarang unsur paksaan; dan
viii) menentukan tetamu kehormat dan para jemputan yang menghadiri majlis anjuran Persatuan dilayan mengikut peraturan dan protokol yang ditetapkan oleh Kementerian.
b) Juru Audit Dalaman
i) Persatuan hendaklah melantik 2 orang juru audit dalaman dari kalangan anggota Persatuan yang tidak menjadi anggota Jawatankuasa PIBG pada mesyuarat Agung Tahunan.
ii) Tanggungjawab juru audit dalaman adalah seperti berikut:
aa) mengaudit akaun Persatuan pada setiap akhir tahun kewangan; dan
ab) menjalankan pengauditan secara berkala seperti mana yang diputuskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan.
Tempat bermesyuarat (jika berlainan dari alamat berdaftar)
20. Mesyuarat Persatuan dan Mesyuarat Agung Tahunan diadakan di
..............................................................................................................
Kuorum
21. Kuorum mesyuarat yang diadakan oleh Persatuan adalah seperti berikut:
a) Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah tidak kurang daripada 3 kali jumlah bilangan anggota Jawatankuasa PIBG; dan
b) Mesyuarat Jawatankuasa PIBG - hendaklah tidak kurang 2/3 daripada jumlah bilangan anggota Jawatankuasa PIBG.
Mesyuarat Agung Tahunan
22. Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah pada setiap tahun sebelum akhir bulan Mac.
23. Jika Mesyuarat Agung Tahunan tidak diadakan sebelum akhir bulan Mac, Jawatankuasa PIBG hendaklah mengemukakan alasan dan tarikh yang dicadangkan kepada Pendaftar, melalui Guru Besar atau Pengetua, sebelum 31 Mac.
24. Notis tarikh Mesyuarat Agung Tahunan diadakan hendaklah diberikan kepada anggota Persatuan selewat-lewatnya 14 hari sebelum tarikh Mesyuarat.
25. Sekiranya kuorum untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan tidak mencukupi dalam tempoh 1 jam dari masa yang ditetapkan, Mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan dan Jawatankuasa PIBG hendaklah mengeluarkan notis bertulis kepada anggota Persatuan memaklumkan tarikh baru Mesyuarat Agung Tahunan dalam masa 30 hari dari tarikh asal tersebut.
26. Agenda Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah mengandungi perkara-perkara berikut;
a) ucapan Pengerusi;
b) membentang dan menerima Minit Mesyuarat Agung Tahunan yang lalu;
c) membentang dan menerima Laporan Tahunan;
d) membentang, menerima dan meluluskan Penyata Kewangan berakhir 31 Disember tahun sebelumnya;
e) membahaskan usul, jika ada;
f) pemilihan Jawatankuasa PIBG bagi tahun berkenaan;
g) pemilihan Juru Audit Dalaman;
h) ucapan penangguhan; dan
i) lain-lain hal.
27. Apa-apa usul bertulis hendaklah disampaikan kepada Jawatankuasa PIBG selewat-lewatnya 7 hari sebelum tarikh Mesyuarat Agung Tahunan diadakan. Jawatankuasa PIBG diberi kuasa untuk menapis usul-usul yang dikemukakan sebelum diluluskan untuk perbincangan dalam Mesyuarat Agung Tahunan.
28. Mesyuarat Agung Tahunan bertanggungjawab memilih pemegang-pemegang jawatan dalam Jawatankuasa PIBG serta menimbang lain-lain perkara yang menyentuh kemajuan dan kebajikan Persatuan. Pemilihan pemegang jawatan hendaklah dibuat seperti berikut:
a) anggota yang dicalonkan untuk memegang jawatan dalam Jawatankuasa PIBG hendaklah hadir dalam Mesyuarat;
b) setiap pencalonan hendaklah mempunyai pencadang dan penyokong; dan
c) pemilihan hendaklah dijalankan secara undian bagi jawatan yang ditandingi. Calon yang mendapat undi terbanyak dipilih menjawat jawatan yang dipertandingkan.
Mesyuarat Agung Tergempar
29. Mesyuarat Agung Tergempar boleh diadakan dalam keadaan-keadaan berikut:
a) apabila difikirkan perlu oleh Jawatankuasa PIBG;
b) atas permintaan bertulis sekurang-kurangnya 1/5 daripada jumlah anggota Persatuan; atau
c) atas arahan Pendaftar.
30. Mesyuarat Agung Tergempar hendaklah diadakan dalam tempoh 21 hari daripada tarikh keputusan Jawatankuasa PIBG atau tarikh penerimaan permintaan anggota Persatuan atau tarikh arahan Pendaftar, mengikut mana yang berkenaan. Notis bertulis mengenai Mesyuarat Agung Tergempar hendaklah dikemukakan kepada anggota Persatuan selewat-lewatnya 7 hari dari tarikh Mesyuarat hendak diadakan.
31. Urusan Mesyuarat Agung Tergempar hendaklah dihadkan kepada tujuan Mesyuarat itu diadakan.
Laporan Mesyuarat
32. Laporan Mesyuarat Agung Tahunan bersama-sama Penyata Kira-kira Kewangan Persatuan hendaklah dihantar kepada Pendaftar dan Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah atau Pegawai Pejabat Pendidikan Bahagian, mengikut mana yang berkenaan, dalam tempoh 30 hari selepas tarikh Mesyuarat.
33. Laporan Mesyuarat Agung Tergempar hendaklah dihantar kepada Pendaftar dan Pegawai Pendidikan Daerah atau Pegawai Pejabat Pendidikan Bahagian, mengikut mana yang berkenaan, dalam tempoh 30 hari selepas tarikh Mesyuarat.

Mesyuarat Jawatankuasa PIBG
34. Jawatankuasa PIBG hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya 3 kali dalam tempoh satu tahun persekolahan.
35. Notis panggilan mesyuarat hendaklah diberikan kepada anggota Jawatankuasa PIBG selewat-lewatnya 7 hari sebelum tarikh Mesyuarat.
36. Yang Di-Pertua, atau sekurang-kurangnya 3 orang anggota Jawatankuasa PIBG, boleh memanggil mesyuarat Jawatankuasa PIBG apabila difikirkan perlu dengan persetujuan Penasihat.
37. Setiap anggota Jawatankuasa PIBG yang tidak hadir mesyuarat sebanyak 2 kali tanpa sebab hendaklah digugurkan keanggotaan dalam jawatankuasa PIBG secara automatik dan Yang Di-Pertua hendaklah mengemukakan notis bertulis kepada anggota berkenaan sebaik sahaja keputusan itu dibuat.

Punca-Punca Pendapatan Persatuan
38. Punca-punca pendapatan Persatuan adalah terdiri daripada;
a) sumbangan anggota Persatuan (anggota Persatuan tidak boleh dipaksa memberi apa-apa sumbangan);
b) derma dan sumbangan daripada individu, organisasi dan badan-badan lain;
c) pendapatan yang diperolehi daripada aktiviti dan program unjuran Persatuan yang telah mendapat kelulusan Pendaftar
39. Jawatankuasa hendaklah membuka satu akaun di mana-mana bank tempatan yang berdaftar atas nama Persatuan.
40. Apa-apa wang yang diterima atau diperolehi oleh Persatuan hendaklah dikreditkan ke dalam akaun Persatuan pada hari wang diterima atau diperolehi. Walau apa pun peruntukan ini, Bendahari boleh menyimpan wang tunai yang tidak melebihi ................................................................................................ pada satu-satu masa.

Perbelanjaan wang Persatuan
41. Jawatankuasa PIBG diberi kuasa untuk membelanjakan wang Persatuan bagi perkara-perkara yang mendatangkan faedah kepada murid-murid Sekolah yang tidak bercanggah dengan tujuan-tujuan Persatuan.
42. Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang daripada akaun Persatuan hendaklah ditandatangan oleh Bendahari dan Yang Di-Pertua atau Setiausaha, semasa ketiadaan Yang Di-Pertua.
43. Bendahari dan Yang Di-Pertua hendaklah memastikan tiada berlaku terlebih pengeluaran wang dan akaun Persatuan sentiasa berbaki kredit.
44. Tahun kewangan Persatuan bermula pada 1 Januari hingga 31 Disember tahun semasa.
Penyimpanan akaun pendapatan dan perbelanjaan
45. Penyata Kira-kira Kewangan Persatuan yang telah diaudit hendaklah dibentangkan untuk diterima dan diluluskan oleh anggota Persatuan dalam Mesyuarat Agung Tahunan.
46. Satu salinan Penyata Kira-kira Kewangan yang telah diaudit serta diterima dan diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah dihantar kepada Pendaftar dan Pegawai Pendidikan Daerah atau Pegawai Pendidikan Bahagian mengikut mana-mana yang berkenaan.
47. Pendaftar, Pegawai Pendidikan Daerah, Pegawai Pendidikan Bahagian, Pengetua atau Guru Besar adalah dibenarkan memeriksa akaun Persatuan pada bila-bila masa.

Harta Amanah Persatuan
48. Persatuan tidak boleh memegang apa-apa harta, sama ada harta alih atau harta tak alih, atas namanya sendiri. Apa-apa harta yang, sebelum dari tarikh Perlembagaan ini berkuat kuasa, diletakkan atas nama Persatuan hendaklah dialihkan kepada Kerajaan Malaysia, yang diwakili oleh Sekolah, sebagai harta yang diamanahkan oleh Persatuan untuk digunakan bagi faedah murid-murid Sekolah itu sahaja atau sebagaimana yang ditetapkan oleh Jawatankuasa PIBG dari masa ke semasa.
49. Apa-apa harta yang diamanahkan kepada Sekolah tidak boleh dipindah milik atau dilupuskan dengan apa cara sekali pun, melainkan dengan persetujuan anggota Persatuan yang diperolehi dalam Mesyuarat Agung Tahunan.

Pindaan Perlembagaan Persatuan
50. Apa-apa cadangan untuk meminda Perlembagaan Persatuan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar, melalui Guru Besar atau Pengetua, untuk kelulusan terlebih dahulu.
51. Cadangan pindaan yang hendak dikemukakan kepada Pendaftar hendaklah dibentangkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan dan dipersetujui oleh sekurang-kurangnya 2/3 daripada anggota Persatuan yang hadir.
52. Pindaan kepada Perlembagaan hanya berkuat kuasa mulai daripada pindaan diluluskan oleh Pendaftar.
53. Pendaftar berhak meluluskan atau tidak sebarang pindaan yang dicadangkan oleh Persatuan.

Larangan
54. Persatuan tidak boleh memperluaskan bidang kuasanya untuk merangkumi perkara-perkara yang berkaitan dengan pentadbiran dan pengurusan sekolah, guru, kakitangan dan pekerja Sekolah dan syarat-syarat perkhidmatan guru dan kakitangan Sekolah.
55. Persatuan bukanlah suatu entiti undang-undang dan tidak mempunyai keupayaan juridikal untuk membuat kontrak, perjanjian atau memorandum persefahaman, atas namanya sendiri. Apa-apa program dan aktiviti yang hendak dibuat oleh Persatuan yang memerlukan apa-apa suratcara yang mengikat dari segi undang-undang hendaklah dirujuk kepada Pendaftar, melalui Guru Besar atau Pengetua, untuk kelulusan dan panduan.
56. Persatuan tidak boleh menjadi forum atau jentera bagi menyelesaikan sebarang pertikaian antara Persatuan dengan Guru Besar atau Pengetua, Pejabat Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Bahagian, Jabatan Pendidikan Negeri, Kementerian Pendidikan, Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan.
57. Persatuan tidak boleh bergabung dengan persatuan ibu bapa-guru di sekolah- sekolah lain, parti politik, kesatuan sekerja, pertubuhan bukan kerajaan atau lain-lain organisasi, pertubuhan atau persatuan, sama ada yang ditubuhkan atau berdaftar di bawah mana-mana undang-undang bertulis atau tidak.

Tafsiran
58. Sebarang kekeliruan atau pertikaian yang timbul daripada Perlembagaan ini hendaklah dirujuk kepada Pendaftar melalui Guru Besar atau Pengetua.
Pembubaran
59. Persatuan hanya boleh dibubarkan dalam keadaan berikut:
a) atas arahan bertulis daripada Pendaftar; atau
b) Sekolah berhenti beroperasi
60. Apa-apa wang dalam akaun Persatuan hendaklah digunakan sebagaimana yang ditetapkan oleh Pendaftar dan kegunaannya hendaklah bagi memanfaatkan pendidikan kanak-kanak di kawasan di mana Sekolah itu berada. Apa-apa harta alih dan tak alih yang telah diamanahkan kepada Sekolah hendaklah dilupuskan mengikut cara yang ditetapkan oleh Pendaftar.
61. Guru Besar atau Pengetua hendaklah memulangkan Sijil Pendaftaran Persatuan kepada Pendaftar apabila Persatuan dibubarkan.

Perlembagaan Sekolah: .............................................................................
Alamat Sekolah: .............................................................................

Tandatangan Guru Besar / Pengetua: .............................................................................
Nama Guru Besar / Pengetua: .............................................................................
Tarikh: .............................................................................

___________________________________________________________________
Diluluskan oleh:
Pendaftar Sekolah dan Guru
Cop:
Tandatangan:
Nama:
Tarikh: ...................................

Sunday, April 28, 2013

Pertandingan Deklamasi Sajak Bahasa Cina




















SJK (C) Phooi Tee mengucapkan sekalung penghargaan dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pertandingan ini.