PERSATUAN Ibu Bapa dan Guru (PIBG) adalah organisasi penting kepada
sesebuah institusi pendidikan rendah dan menengah. Fungsi dan
tanggungjawab PIBG amat besar serta mencabar, ke arah meningkatkan
akses, ekuiti, kecekapan, keberkesanan dan kualiti pendidikan negara
yang lebih komprehensif, berwibawa serta bertaraf dunia.
Objektif dan visi PIBG hendaklah selari dengan Misi Nasional; Dasar
Pembangunan Negara; Falsafah Pendidikan Negara (FDN); Dasar Pendidikan
Negara (DPN); Pelan Integriti Nasional (PIN); dan prinsip Islam Hadhari.
Akta Pendidikan 1961 memperuntukkan bahawa PIBG adalah entiti utama
dalam sesebuah sekolah dan asas penubuhannya termaktub dalam akta
tersebut. PIBG berperanan sebagai rakan kongsi sekolah dalam
menyelesaikan masalah, birokrasi dan isu yang timbul. Badan ini juga
bertindak sebagai wadah, forum dan khidmat bakti untuk kemajuan serta
pembangunan pelajar dan sekolah.
Ini turut meliputi sistem pentadbiran dan pengurusan sekolah,
akademik, disiplin, sistem pemantauan dan penilaian. Penekanan kepada
kurikulum dan pentaksiran amat penting, termasuklah pemantauan maklumat
dan komunikasi, penyelidikan dan pembangunan, kewangan serta
infrastruktur sekolah.
Perlembagaan PIBG menetapkan bahawa keahlian badan ini hendaklah
terdiri daripada setiap guru dan ibu bapa yang anak mereka menuntut di
sekolah berkenaan. Institusi ini boleh bertindak melengkapkan prasarana
keperluan fizikal sekolah dan murid seperti projek makmal komputer;
penyediaaan akses jalur lebar SchoolNet ke sekolah; perpustakaan yang
lengkap; program TV Pendidikan; pusat sumber yang mapan; kemudahan sukan
dan rekreasi yang mantap dan berkesan; serta pelbagai inisiatif
teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang lain.
Ini termasuklah kemudahan akses internet, paparan kristal cecair
(LCD), kafe siber di sekolah dan lain-lain lagi yang mampu menyokong
aspirasi kecemerlangan sekolah.
Inilah agenda dan misi yang sepatutnya menjadi matlamat serta
perjuangan barisan kepimpinan dan pengurusan PIBG. Dan bukannya
menjadikan PIBG sebagai platform politik murahan, gelanggang mengejar
nama dan pangkat, medan mesyuarat ala kedai kopi atau perebutan jawatan
demi kepentingan diri sendiri dan mempunyai agenda tersembunyi yang
tidak memberi sebarang manfaat dan kebaikan kepada pembangunan sekolah
dan masa hadapan pelajar.
Barisan kepimpinan PIBG juga hendaklah menginsafi dan dengan penuh
tanggungjawab melaksanakan tugas dan amanah yang dipikul di bahu mereka.
PIBG yang bertindak sebagai entiti utama, membolehkan kelompok ibu
bapa dan guru berkongsi dan bertukar pendapat serta maklumat mengenai
pendidikan semasa dan method meningkatkan lagi prestasi akademik dan
kokurikulum pelajar. Pembangunan modal insan perlu dengan tumpuan kepada
sistem nilai, aspek disiplin, sahsiah, akhlak, dan jati diri pelajar.
Ini bermatlamat melahirkan produk generasi pelajar yang berkualiti,
bersepadu dan seimbang. Hasilnya produk pelajar tersebut kompeten dalam
sains dan teknologi, inovatif, mampu bersaing di pasaran global,
berdikari, kreatif serta kebolehpasaran dalam apa jua bidang dan jurusan
yang diceburi mereka pada masa akan datang.